MAC 2022 Majlis Belia Negeri (MBN) dan Pejabat Exco Belia, Sukan Komunikasi dan Multimedia Perak dengan kerjasama Universiti Sultan Azlan Shah tampil dengan program Wacana Pemikiran Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang akan memulakan siri pertamanya pada 11 Mac 2022.

Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang juga bekas pelajar USAS, Wan Mohammad Afiq Wan Aris Fathillah berkata, program tersebut tercetus susulan pelancaran Buku Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang diangkat di dalam Persidangan MAIPk seterusnya dipersetujui untuk dilaksanakan.

Menurutnya, “Wacana ini dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada para belia dan mahasiswa yang bukan hanya berada di Perak malah seluruh negara mengenai pemikiran Sultan Nazrin melalui titah ucapan baginda yang terkandung di dalam buku Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ini.

“Program ini juga bertujuan untuk menjadikan titah yang dizahirkan sebagai panduan dan dorongan bagi golongan muda yang merupakan generasi pewaris negara”.

Terdapat enam siri keseluruhan bagi wacana berkenaan yang mana lima daripadanya akan dilaksanakan secara dalam talian menerusi Facebook Rasmi YouTube USAS.