JULAI 2023 – Pada 5 Julai 2023, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dengan bangganya telah dipilih sebagai lokasi untuk menganjurkan Majlis Peringatan Ulang Tahun ke-100 Heydar Aliyev, Pemimpin Kebangsaan Azerbaijan.

Majlis istimewa ini dihadiri oleh Tuan Yang Terutama, Duta Besar Azerbaijan di Malaysia, TYT. Irfan Davudov, serta En. Rafig Rustamov, Kaunselor Kedutaan Azerbaijan.

Sebagai satu bentuk penghargaan terhadap peringatan ini, satu acara penanaman pokok telah diadakan di sekitar kawasan USAS. Tindakan ini melambangkan semangat kerjasama dan persahabatan yang terjalin di antara Azerbaijan dan Malaysia. Penanaman pokok ini juga melambangkan harapan untuk perkembangan hubungan yang lebih kukuh di masa hadapan.

Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri bin Wan Yusof, Naib Canselor USAS, dalam ucapannya pada majlis tersebut, mengucapkan terima kasih kepada Kedutaan Azerbaijan atas hubungan yang telah berlangsung selama tiga tahun dan masih berterusan hingga hari ini. Beliau juga menghargai sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh Kedutaan tersebut dalam memperkukuhkan hubungan antara USAS dan Azerbaijan.

Majlis Peringatan Ulang Tahun ke-100 Heydar Aliyev ini bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap seorang pemimpin yang penting dalam sejarah Azerbaijan, tetapi juga merupakan satu platform untuk memperkukuhkan hubungan persahabatan antara USAS dan Azerbaijan. USAS berharap hubungan ini akan terus berkembang dan memberikan manfaat yang berkekalan bagi kedua-dua pihak.