DISEMBER 2023 Pelajar-pelajar USAS iaitu wakil tunggal Malaysia telah menyertai program ‘Sunburst Youth Camp 2023 (SYC 2023) anjuran Temasek Foundation Singapura dan telah berjaya dinobatkan sebagai ‘Best Country Display Booth’. USAS yang mewakili Malaysia ini telah mempamerkan dan membentangkan tentang budaya Malaysia dan telah menerima undian tertinggi.
Seramai 6 pelajar USAS berserta seorang ketua delegasi telah terpilih mewakili Malaysia ke Sunburst Youth Camp 2023 (SYC 2023) anjuran Nanyang Fine Art Academy Singapore dan ditaja oleh Temasek Foundation. Program tersebut dijalankan di Singapura bermula 4 hingga 10 Disember 2023.
Bertemakan ‘Legends 2.0’, program ini mengangkat seni budaya melalui cerita-cerita lagenda dari seluruh ASEAN. Penyertaan dari 10 negara ASEAN ini telah mengumpulkan hampir 150 peserta dari pelbagai latar belakang dan pendidikan.
Sepanjang program ini berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang bertemakan ‘ASEAN Culture and Arts’ seperti bengkel batik, penulisan sastera, lawatan ke ArtScience Museum, bengkel kreatif SoundByte, aktiviti teambuilding dan pelbagai aktiviti-aktiviti kebudayaan.
Delegasi Malaysia juga telah mempersembahkan tarian kebudayaan bertemakan ‘Melting Pot’ bagi menzahirkan keharmonian kepelbagaian bangsa dan agama di Malaysia.
Sekalung tahniah kepada pembimbing, Cik Noor Aishah binti Idrishah dan para peserta di atas pencapaian mengharumkan nama USAS, Perak Darul Ridzuan, dan Malaysia di peringkat antarabangsa.
USAS turut merakamkan setinggi-tinggi perhargaan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid, Yang DiPertua Dewan Negeri Perak dan YB Encik Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak di atas sokongan serta sumbangan kepada program ini.