November 2024 – Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) telah mengadakan Istiadat Konvokesyen Ke-17 yang penuh bermakna, di mana seramai 1798 graduan dari pelbagai bidang berjaya menamatkan pengajian dan dianugerahkan ijazah serta diploma. Antara penerima anugerah tertinggi, tujuh graduan telah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 36 graduan menerima Ijazah Sarjana, 14 graduan memperoleh Diploma Pascasiswazah, manakala 768 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda dan 973 graduan dianugerahkan Diploma.
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan turut berkenan untuk menyampaikan Anugerah Tuanku Canselor kepada Siti Nurzulaikha Zulkifli, graduan cemerlang dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian). Naib Canselor USAS, Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri bin Wan Yusof, dalam ucapan sembahnya, turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya merealisasikan impian mereka, serta impian ibu bapa yang berharap melihat kejayaan para graduan ini.
Dengan pencapaian cemerlang yang diraih oleh para graduan, Universiti Sultan Azlan Shah terus berkomitmen untuk melahirkan generasi muda yang berilmu, berbakat, dan berdedikasi. USAS akan terus memainkan peranan penting dalam membentuk pemimpin masa depan yang dapat memajukan masyarakat dan negara.