MAC 2024 Pada 1 Mac hingga 3 Mac 2024, Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah menghantar 37 orang mahasiswa USAS untuk menyertai Kem Jati Diri Mahasiswa: Belia Pemacu Komuniti Inklusif. Program yang dijalankan di Perasa Autocamp, Changkat Jering ini merupakan satu projek yang di bawah All Party Parliamentary Group (APPGM – SDG) dan dikelola oleh Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen Taiping.

Peserta terdiri daripada wakil Majlis Perwakilan Mahasiswa, Majlis Perwakilan Kediaman, dan Fasilitator USAS. Selama tiga hari dan dua malam, mereka terlibat dalam pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk memperkukuhkan keperibadian, kepimpinan, dan semangat komuniti yang inklusif.

Walaupun cuaca hujan menguji semangat mereka pada sebelah petang di kedua-dua hari, peserta tetap berkomited untuk mengambil bahagian dalam semua aktiviti yang diaturkan.

Sebagai sebahagian daripada pengalaman mereka, peserta telah menyiapkan makanan malam mereka sendiri mengikut tema yang ditetapkan seperti makanan Sabah, makanan Sarawak, makanan bangsa Cina, dan makanan bangsa India. Aktiviti ini tidak hanya menyuburkan hubungan di antara peserta, tetapi juga memupuk nilai-nilai kerjasama dan kepelbagaian.

Pada hari terakhir, peserta telah menyumbang kepada komuniti dengan menjalankan aktiviti khidmat komuniti di Sekolah Kebangsaan Jelutong. Mereka dengan sukarela membersihkan kawasan sekolah, memotong rumput, dan melukis landskap, memberikan manfaat yang nyata kepada masyarakat setempat.