
MAC 2025 –Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Sultan Azlan Shah telah berjaya menjalankan program Jalinan Kasih Ramadan bagi tahun 2025 di Kampung Orang Asli Ulu Bekor, Manong, Perak. Program yang memasuki edisi ke-5 ini mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Komuniti Muslim Ulu Bekor selaku NGO yang mewakili penduduk muslim di kampung tersebut.
Seramai 25 orang sukarelawan dan 15 orang kakitangan BHEP telah terlibat dalam menjayakan aktiviti di kampung ini. Rumah pertama yang dikunjungi adalah rumah En. Halim yang merupakan Penghulu bagi penduduk Muslim. Di rumah beliau, sukarelawan telah menjalankan aktiviti mengecat dan membersihkan persekitaran rumah. Beliau cukup gembira apabila melihatkan rumahnya kini berwajah baru untuk menyambut Aidilfitri. Aktiviti mengecat tersebut berlangsung selama lebih kurang satu jam setengah.
Usai aktiviti, Prof. Madya Dr. Shamsul Jamili bin Yeob, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Industri telah meyampaikan sumbangan kepada keluarga En. Halim sambil diiringi oleh Dr. Ahmad Zaki bin Hasan, Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar.
Prof. Madya Dr. Shamsul bersama dengan kakitangan BHEP seterusnya bergerak ke rumah Puan Nabila dan Puan Dinazisha untuk menyampaikan sumbangan yang diperoleh daripada warga USAS. Selesai penyerahan sumbangan di dua buah rumah tersebut, semua penduduk muslim berkumpul di Surau Muhsinin untuk solat Asar dan penyampaian sumbangan kepada mereka. Kesemua 13 keluarga muslim telah menerima sumbangan barang dapur untuk meringangkan beban mereka menyambut Aidilfitri.
Program tersebut diteruskan dengan Majlis Berbuka Puasa & Solat Taraweh yang diadakan di USAS. Mereka telah dibawa menggunakan bas USAS dan berbuka puasa di Masjid Raja Permaisuri Bainun, USAS.
Program selesai selepas Solat Taraweh lebih kurang jam 10.00 malam. Bagi pihak Universiti Sultan Azlan Shah, BHEP mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pertubuhan Komuniti Muslim Ulu Bekor (PKMUB) yang sudi menerima kehadiran USAS dan meluangkan masa untuk berbuka puasa di USAS.
Semoga ikatan erat di antara USAS dan PKMUB ini dapat dikekalkan seterusnya membuka ruang kepada pelbagai bentuk program lain yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.