MAC 2024 Yayasan Temasek, Singapura, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). Delegasi Yayasan Temasek diketuai oleh Encik Amrin Amin, Ketua Pembangunan Korporat dan Mr. James Chan, Pengarah Kanan Yayasan.

Turut hadir Yang Berhormat Dato’ Mohammad Zahir Bin Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, dalam ucapannya mengatakan pentingnya acara ini dalam memperkukuhkan hubungan antara Singapura dan Malaysia, khususnya dalam sektor pendidikan dan pembangunan sosial.

Kedatangan delegasi disambut meriah dengan alunan gamelan dan persembahan silat selamat datang daripada pelajar USAS bagi menunjukkan keunikan budaya Malaysia.

Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri bin Wan Yusof, Naib Canselor USAS, dalam ucapan alu-aluannya, mengucapkan selamat datang kepada delegasi Yayasan Temasek. Beliau telah memperkenalkan universiti, memaparkan visi dan misi, serta menerangkan tentang program yang ditawarkan di USAS, yang semuanya dirancang untuk menjamin pembangunan holistik mahasiswa.

Kemuncak lawatan ini adalah sesi ramah mesra dengan Majlis Perwakilan Mahasiswa dan Majlis Perwakilan Kediaman USAS, memberikan peluang kepada delegasi untuk bertukar pandangan serta mendengar secara langsung dari mahasiswa mengenai pengalaman mereka semasa berada di Singapura mewakili Malaysia dalam Sunburst Youth Camp 2023.