MAC 2024 – Pasukan Sepaktakraw Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) telah mencatat sejarah dalam Kejohanan Varsiti Sepak Takraw League (VSL) Tahun 2024, (Sirkit 1) yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Dengan semangat yang berkobar-kobar, Pasukan USAS A telah berjaya meraih Pingat Gangsa dalam acara Beregu (Double), setelah menunjukkan prestasi yang memukau sepanjang kejohanan.
USAS telah menghantar empat pasukan dalam kejohanan ini, antaranya dua dalam Acara Regu (Berpasukan) dan dua Acara Beregu (Double). Seramai 15 pemain telah mewakili USAS, menampilkan semangat juang dalam setiap pertandingan.
Dalam acara Beregu, Mohamad Fazrul Akmal bin Md Saberi (apit Kiri) dan Muhammad Ali Abhar bin Johar (perejam) telah menunjukkan kekuatan, kekompakan, dan kerjasama yang luar biasa, membuahkan hasil dengan penganugerahan Pingat Gangsa. Kejayaan ini bukan sahaja meningkatkan moral pasukan tetapi juga menandakan kualiti dan potensi besar yang dimiliki oleh para pemain USAS.
Dengan kejayaan ini, pasukan Sepaktakraw USAS kini lebih bersemangat dan gigih dalam usaha mereka untuk menempah tempat ke Grand Final Varsiti Sepaktakraw League (VSL) Tahun 2024 yang akan diadakan di Putrajaya pada hujung tahun ini.