JULAI 2024 – Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Casuarina telah melabuhkan tirainya dengan kejayaan cemerlang. Acara yang diadakan dari Isnin hingga Rabu lalu telah menarik perhatian lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara, termasuk ulama, pemimpin, intelektual, dan profesional.
Dianjurkan secara bersama oleh Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Kerajaan Negeri Perak, WCIT 2024 dengan tema “Together We Stand: Muslims and Global Humanity” telah menampilkan 38 pembentang terkemuka seperti mantan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla; Pengasas Medina Institute, Shaykh Muhammad Yahya Al Ninowy; dan Profesor Gerges A Fawaz dari London School of Economics and Political Sciences.
Majlis perasmian persidangan disempurnakan oleh DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, manakala ucapan alu-aluan disampaikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Selain itu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersama Naib Canselor USAS, Datuk Prof. Dr. Wan Sabri Wan Yusof, turut meraikan para pembentang dalam majlis khas yang diadakan pada malam pertama persidangan.
WCIT 2024 membincangkan tujuh subtema utama termasuk politik global, kedaulatan undang-undang, tadbir urus dan integriti, pendidikan dan penyelidikan, kerjasama ekonomi, kesenian dan kemanusiaan, serta teknologi hijau dan kemampanan persekitaran.
Selain acara akademik, WCIT 2024 turut menyertakan Karnival Pendidikan Tinggi 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah. Karnival yang berlangsung sepanjang tempoh persidangan ini berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti, termasuk gerai Jualan Rahmah Madani dan Program WCIT 2024 Berselawat.
Keberhasilan WCIT 2024 menegaskan komitmen berterusan USAS dan Kerajaan Negeri Perak dalam mempromosikan dialog intelektual dan pertukaran idea di peringkat global. Penganjuran ini tidak hanya memberikan manfaat kepada masyarakat tempatan tetapi juga menyemai usaha menangani isu-isu semasa dalam dunia Islam melalui perbincangan dan pertukaran idea yang konstruktif.