OGOS 2024Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia pada 15 Ogos 2024 menyaksikan momen bersejarah dengan penganugerahan pangkat dan tauliah kepada pegawai-pegawai yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam perkhidmatan mereka. Majlis tersebut diadakan di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira Tentera Darat, dan dihadiri oleh Panglima Tentera Darat Malaysia, Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Dalam majlis tersebut, Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri Wan Yusuf, Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah bersama tiga pegawai telah menerima penganugerahan tauliah Kol Kehormat dalam Angkatan Sukarela Persekutuan (ASP), sementara 13 Pegawai Kanan dinaikkan pangkat ke Lt Kol.

Selain itu, dua pegawai dianugerahkan tauliah Lt Kol Kehormat dalam ASP dan seorang pegawai sukarela Askar Wataniah dinaikkan ke pangkat Mejar, diikuti dengan seorang pegawai dianugerahkan tauliah Mejar Kehormat dalam ASP.

Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.