OGOS 2024 – Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) telah mengadakan majlis perhimpunan staf yang penuh makna pada 28 Ogos 2024. Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna USAS ini menyaksikan pelbagai acara penting, termasuk pelancaran Pelan Strategik USAS 2024-2028, sambutan Jubli Perak, Bicara Merdeka, serta Sambutan Hari Kebangsaan ke-67.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh tetamu kehormat seperti YDH CP Dato’ Pahlawan Haji Azizi bin Haji Mat Aris, Ketua Polis Perak, dan YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah USAS Berhad & USAS. Hadir sama dalam majlis ini adalah ketua-ketua jabatan negeri dan daerah, yang memberikan sokongan dan penghargaan terhadap universiti.
Pelan Strategik USAS 2024-2028 telah dilancarkan dalam majlis ini sebagai panduan utama untuk memacu kecemerlangan USAS dalam tempoh lima tahun akan datang. Pelan ini bertujuan untuk memastikan bahawa universiti terus berkembang dengan fokus kepada matlamat jangka panjang yang jelas. Dengan pelancaran ini, warga USAS diharapkan dapat lebih memahami arah tuju universiti serta peranan penting mereka dalam mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan.
Sesi Bicara Merdeka bersama Ketua Polis Perak juga diadakan bagi yang membincangkan mengenai erti sebenar kemerdekaan dan tanggungjawab institusi pendidikan dalam memupuk semangat patriotisme. Bicara ini memberikan perspektif yang mendalam mengenai peranan universiti dalam membentuk generasi yang cintakan negara.
Majlis ini juga merupakan detik istimewa dengan Sambutan Jubli Perak menandakan 25 tahun penubuhan USAS. Sambutan ini memberi penghormatan kepada sejarah dan pencapaian USAS sepanjang suku abad yang lalu. Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan, menggambarkan dedikasi dan komitmen universiti dalam bidang pendidikan.
Sebagai penutup, majlis ini diakhiri dengan Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 bertemakan “Jiwa Merdeka.” Acara ini diserikan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik dan pengibaran Jalur Gemilang oleh semua staf dan pelajar yang hadir. Melalui sambutan ini, semangat kemerdekaan dihidupkan kembali, mengingatkan semua hadirin tentang pentingnya mengenang jasa pejuang kemerdekaan dan terus berbakti kepada negara.