Ogos 2024Program Volunteer Outreach 2024 telah berlangsung dengan jayanya pada 23 Ogos 2024 hingga 25 Ogos 2024 di Pulau Pangkor, Perak. Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Skuad Sukarelawan USAS ini melibatkan seramai 25 orang mahasiswa yang aktif dalam kegiatan sukarela sepanjang tahun 2024. Program hari pertama dimulakan dengan aktiviti gotong royong masjid di Masjid Teluk Raja Bayang, Pekan Pangkor.

Aktiviti gotong royong mendapat kerjasama yang baik daripada pihak pengurusan masjid yang telah menyediakan peralatan yang diperlukan untuk gotong royong disamping menyediakan bilik rehat buat peserta ketika solat jumaat. Terima kasih diucapkan kepada Pengerusi Masjid Teluk Raja Bayang, Tuan Haji Ismail atas kesudiaan menerima kunjungan daripada pasukan Skuad Sukarelawan USAS.

Program hari kedua diteruskan dengan aktiviti pembersihan pantai yang dijalankan di Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor. Cuaca yang baik pada hari tersebut memastikan kelancaran aktiviti pembersihan pantai yang dilakukan oleh sukarelawan dengan mengutip sampah. Rata-rata pengunjung memuji Sukarelawan USAS yang meluangkan masa hari minggu untuk memastikan kebersihan kawasan pantai.

Aktiviti hari kedua juga diteruskan dengan aktiviti island hoping dan snorkeling untuk melahirkan rasa cinta dalam diri sukarelawan kepada lautan, pantai dan alam sekitar. Pada sebelah malam bagi kedua-dua hari, aktiviti team building sukarelawan telah dijalankan untuk mengeratkan lagi hubungan di antara sukarelawan seterusnya melancarkan kerja-kerja sukarela yang akan diadakan pada masa akan datang.

Aktiviti hari terakhir ditutup dengan pembersihan pantai yang dijalankan di Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor. Program selesai pada jam 11.00 pagi dan majlis penutupan program telah dibuat di pantai tersebut. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi program ini.

Semoga banyak manfaat yang diperoleh daripada program Volunteer Outreach 2024 ini.