FEBRUARI 2025 – Program S.T.A.R.T.L.E 2025 (Sains, Teknologi, Agrikultur & Landskap Ekspo) yang berlangsung selama dua hari di Mydin Mall Meru, Ipoh, berjaya menarik penyertaan ramai dari pelbagai lapisan masyarakat. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Teknologi Maklumat, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan bertujuan untuk mengetengahkan inovasi dalam bidang sains, teknologi, agrikultur, dan landskap.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti pameran inovasi dan teknologi, sesi S.T.A.R.T.L.E Innovation Series yang membincangkan perkembangan sains dan teknologi, serta pertandingan kreatif seperti Doodle Art, Poster AI, Puzzle Challenge, dan Pemasangan CPU Terpantas. Selain itu, terdapat Innovation Pitch Battle bagi peserta mempersembahkan idea inovatif mereka, demonstrasi USAS Hydroponic DIY, serta ceramah industri mengenai keselamatan siber. Program ini bukan sahaja mempamerkan kemajuan teknologi tetapi juga memberi peluang kepada peserta dan pengunjung untuk mendalami ilmu serta mencetuskan idea baharu dalam bidang inovasi.

Pada hari terakhir, majlis penutupan dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), diikuti dengan ucapan penutupan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Acara kemuncak ialah majlis penyampaian hadiah, yang menghargai pencapaian peserta dalam pelbagai pertandingan dan inovasi sepanjang ekspo berlangsung. Dengan penganjuran program ini, diharapkan lebih banyak bakat dan idea baharu dapat diketengahkan bagi memajukan industri teknologi di Malaysia.