MEI 2023 Pada 30 Mei 2023, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) mengalu-alukan kedatangan delegasi dari Universiti Walailak, Thailand. Delegasi telah disambut mesra oleh Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri bin Wan Yusof, Naib Canselor USAS, bersama-sama pengurusan eksekutif, dekan, dan ketua-ketua Jabatan USAS.
Delegasi dari Walailak University Thailand diketuai oleh Assoc. Prof. Dr. Ponpong Bonnbrahm. Kedatangan delegasi ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua universiti dan meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan.
Sesi pembentangan telah dibuat dari kedua-dua universiti untuk berkongsi maklumat tentang program akademik, aktiviti dan pencapaian mereka. Pembentangan ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk memahami antara satu sama lain untuk meneroka potensi kerjasama yang saling menguntungkan.
Acara diakhiri dengan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara USAS dan Universiti Walailak. MoU ini akan menjadi asas kepada kerjasama masa depan dalam pengajaran, penyelidikan, pertukaran pelajar, dan program lain yang memberi manfaat kepada kedua-dua universiti.
Dengan termeterainya MoU ini, diharapkan hubungan antara USAS dan Universiti Walailak akan menjadi lebih erat dan membawa manfaat kepada kedua-dua institusi dan dunia pendidikan amnya.