NOVEMBER 2023 – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, secara rasminya telah merasmikan Program Pembangunan Kapasiti dan Dialog Awam Rang Undang-Undang Keselamatan Siber di Institut Antarabangsa Pemikiran Tamadun Islam dan Alam Melayu. Majlis yang berlangsung di Jalan Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin Bukit Tunku ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan kecekapan dalam aspek keselamatan siber di kalangan orang awam.

Dalam majlis tersebut, diumumkan bahawa Alif Fahmi Bin Raffezul, seorang pelajar Universiti Sultan Azlan Shah telah mendapat tempat ke-3 dalam Pertandingan Video Kesedaran Keselamatan Siber Kebangsaan. Kejayaan Alif Fahmi adalah suatu pencapaian gemilang yang menonjolkan bakat dan kebolehan dalam bidang keselamatan siber di kalangan pelajar universiti.

Tempat pertama dan kedua dalam pertandingan tersebut telah dimenangi oleh wakil-wakil dari Universiti Kebangsaan Malaysia, menunjukkan prestasi cemerlang universiti tersebut dalam membangunkan kesedaran dan kepakaran keselamatan siber di kalangan pelajar.

Program Pembangunan Kapasiti dan Dialog Awam Rang Undang-Undang Keselamatan Siber ini diharapkan dapat memberi sumbangan yang besar dalam memperkukuhkan lagi landskap keselamatan siber negara. Menerusi pemahaman yang mendalam dan usaha bersepadu, Malaysia dijangka dapat menghadapi cabaran keselamatan siber dengan lebih proaktif dan efektif pada masa depan.